Kerjaya Formula Satu Ralf_Schumacher

Jordan (1997–1998)

Ralf Schumacher membuat penampilan sulungnya dalam Formula Satu pada tahun 1997 bersama pasukan Jordan. Pada perlumbaan pertama, Ralf mendapat tempat ke-12 pada pusingan kelayakan. Beliau naik beberapa tempat dalam perlumbaan dan berada di tempat ke-8 sebelum bersara setelah mengalami masalah kotak gear selepas hanya dua pusingan. Schumacher mendapat podium pada perlumbaan ketiganya, di Argentina. Walau bagaimanapun, Schumacher bersara dalam 10 perlumbaan yang diadakan pada musim ini dan menamatkan musim di belakang rakan sepasukan, Giancarlo Fisichella.[3] Schumacher juga berlanggar dengan Fisichella di Grand Prix Argentina ketika mereka bersaing untuk mendapatkan tempat ke-2. Mereka juga bertembung di Grand Prix Luxembourg. Schumacher mendapat tempat ke-11 dalam kedudukan kejuaraan pemandu dengan 13 mata, di belakang Fisichella.

Pada musim berikutnya, Jordan menggunakan enjin Honda dan terbukti mampu memenangi perlumbaan apabila Schumacher menamatkan perlumbaan di belakang rakan sepasukan, Damon Hill, di tempat kedua dalam keadaan hujan di Grand Prix Belgium. Schumacher dilaporkan tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan untuk memintas Hill pada saat-saat akhir atas arahan pasukan. Beliau mendapat tempat ke-3 pada perlumbaan seterusnya di Grand Prix Itali. Beliau memulakan 11 perlumbaan di hadapan Hill, tetapi Hill mendapat lebih banyak mata dalam kejuaraan tersebut. Ralf mendapat tempat ke-10 dalam kedudukan keseluruhan.

Williams (1999–2004)

1999

Schumacher memandu untuk Williams di Grand Prix Kanada 1999.

Selepas mengetahui bahawa sebuah perjanjian telah dilakukan dengan BMW pada tahun 1999, beliau menyertai pasukan Williams dan mendapat tiga keputusan podium dan menamatkan musim di tempat ke-6 dalam Kejuaraan Pemandu Dunia dengan enjin menggunakan enjin Supertec yang ketinggalan zaman. Schumacher berpeluang untuk memenangi perlumbaan pertamanya di GP Eropah, namun telah mengalami tayar pancit. Di paddock, Schumacher dianggap sebagai seorang bintang pada masa hadapan yang akan datang kerana beraksi dengan cemerlang di dalam sebuah kereta Williams yang kurang berdaya saing. Walau bagaimanapun, Heinz-Harald Frentzen menggantikan Schumacher di Jordan, dengan memenangi dua perlumbaan dan mendapat empat podium pada tahun itu.

2000

Ramai yang mengatakan prestasi Schumacher pada musim 2000 amat mengecewakan. Dengan menggunakan enjin BMW baru yang lebih berkuasa, beliau diharap untuk menang, tetapi hanya mampu untuk menyamai rekod tiga keputusan podium pada tahun sebelumnya, walaupun merupakan pemandu senior dalam pasukan dan bersara sebanyak empat kali disebabkan oleh kegagalan mekanikal. Beliau memulakan 11 perlumbaan di hadapan Jenson Button dan menamatkan musim di tangga ke-5 dengan 24 mata.

2001

Pada tahun 2001, Ralf muncul sebagai bintang masa hadapan dengan memenangi tiga perlumbaan Grand Prix, di Imola, Montreal dan Hockenheim. Grand Prix San Marino adalah kemenangan pertama untuk pasukan Williams sejak tahun 1997. Ralf dan abangnya, Michael, menjadi adik-beradik yang pertama untuk mendapat keputusan 1-2 dalam sejarah Formula 1, apabila Ralf memenangi perlumbaan di Kanada. Ini juga merupakan kali pertama di mana Michael Schumacher dikalahkan oleh adiknya itu, yang mempunyai kereta lebih berkuasa untuk perlumbaan ini. Mereka berdua juga mendapat keputusan 1-2 dalam edisi 2003. Pada perlumbaan Grand Prix tuan rumahnya, Ralf menang mudah, dan berada 46 saat di hadapan Rubens Barrichello.

Ralf Schumacher menamatkan musim 2001 di tangga ke-4 dalam Kejuaraan Pemandu Dunia di hadapan rakan sepasukannya, Juan Pablo Montoya.

2002

Ralf Schumacher pada tahun 2002 ketika bersama Wiliams.

Pada tahun 2002, Williams berjuang untuk kedudukan podium selepas pasukan Ferrari dibukti amat sukar untuk dikalahkan pada musim ini. Namun begitu, Ralf berjaya memenangi kemenangan tunggal Williams pada musim ini di Grand Prix Malaysia, selepas bermula di tempat ke-4. Perlumbaan ini merupakan salah satu daripada 2 perlumbaan, daripada 17 perlumbaan yang bukan dimenangi oleh Ferrari pada tahun itu. Ralf mendapat 5 podium lagi termasuk mendapat tempat kedua di Grand Prix Brazil. Beliau sekali lagi menamatkan musim di tangga ke-4 dalam kejuaraan, kali ini di belakang rakan sepasukannya, Juan Pablo Montoya.

2003

Ralf Schumacher memandu untuk Williams-BMW F1 team pada tahun 2003.

Selepas memulakan musim dengan perlahan tetapi yakin, dan mendapat mata dalam setiap perlumbaan, Ralf hanya mendapat podium pertamanya pada musim ini pada perlumbaan kelapan di Montreal, di mana beliau mendapat tempat ke-2. Oleh itu, bagi kebanyakan perlumbaan di Eropah, beliau seolah-olah mempunyai peluang yang realistik untuk memenangi kejuaraan pemandu pertamanya selepas memenangi Grand Prix Eropah (di Nürburgring) dan Grand Prix Perancis. Walau bagaimanapun, prestasi dan nasibnya menyebabkan impian tersebut pudar di Grand Prix Itali di Monza. Pada enam perlumbaan terakhir musim ini, beliau hanya mampu mendapat mata dalam satu perlumbaan sahaja. Kemalangan semasa melakukan sebuah sesi ujian di Monza menamatkan harapannya untuk memenangi Kejuaraan Pemandu Dunia. Schumacher menamatkan musim di tangga ke-5 dan dengan sumbangannya, di samping Juan Pablo Montoya, membantu pasukan Williams untuk mendapat tempat kedua dalam Kejuaraan Pengeluar pada tahun 2002 dan 2003, dan Williams hampir memenangi kedua-dua kejuaraan pada tahun 2003.

Kemalangan di Indianapolis

Pada 20 Jun 2004, Schumacher cedera parah dalam sebuah kemalangan di Grand Prix Amerika Syarikat. Nyahpecutan tersebut telah diukur sebanyak 78 g (765 m/s²), dan merupakan salah satu kemalangan yang paling teruk dalam kesemua sejarah sukan permotoran, dan ia menyebabkan Ralf mengalami konkusi dan mengakibatkan dua keretakan kecil kepada tulang belakang beliau. Beliau dibawa ke hospital berhampiran dan menghabiskan masa hampir empat hari di sana dan beberapa bulan di rumah di atas katil. Ini menyebabkan beliau tidak dapat beraksi dalam beberapa perlumbaan pada musim ini. Beliau terbabas dengan cara yang hampir sama pada tahun 2005, dan ia mendedahkan masalah tayar yang akan membawa kepada skandal yang berlaku di Grand Prix Amerika Syarikat 2005.

Toyota (2005–2007)

Schumacher memandu untuk Toyota di Grand Prix Kanada 2005, di mana beliau mendapat tempat keenam.

Pada tahun 2005, Schumacher menyertai pasukan Toyota F1 selepas Williams menolak permintaan gajinya. Pada kemunculan sulungnya bersama Toyota, beliau dikalahkan oleh rakan sepasukan, Jarno Trulli. Bagaimanapun di Spa-Francorchamps, beliau beraksi dengan baik dan akhirnya menetapkan masa pusingan terpantas. Schumacher memperoleh podium pertamanya dengan Toyota F1 di Grand Prix Hungary, dengan mendapat tempat ketiga, kurang daripada satu saat di belakang abangnya. Pasukan Toyota membawa spesifikasi "B" bagi kereta TF105 mereka untuk tiga perlumbaan terakhir pada musim ini. Schumacher mendapat petak pertama di Jepun dalam keadaan hujan, yang menghalang ramai pemandu daripada menetapkan masa pusingan yang kompetitif. Beliau kemudiannya mendapat tempat ke-3 di Grand Prix China seminggu kemudian. Versi kereta yang diubahsuai ini membantu Schumacher untuk mendapat tempat keenam dalam Kejuaraan Pemandu, dua mata di hadapan Trulli, dan membantu Toyota mendapat keempat dalam kejuaraan pengeluar, 12 mata di belakang Ferrari.

Schumacher mendahului Jarno Trulli di Grand Prix Kanada 2006.

Schumacher kekal bersama Toyota pada tahun 2006, namun pasukan tersebut tidak dapat mengekalkan prestasi mereka dari tahun sebelumnya, dan hanya mampu mendapat kelapan di Malaysia. Pada perlumbaan ketiga musim ini di Australia, beliau mendapat tempat ketiga. Ini juga merupakan podium terakhir bagi Schumacher dalam Formula Satu. Keputusan terbaik beliau selepas perlumbaan ini ialah tempat ke-4 di Perancis. Beliau mendapat tempat ke-6 di Hungary, dan ke-7 di Turki dan Jepun. Secara keseluruhannya, beliau menewaskan Trulli sekali lagi, tetapi mengakui ia adalah sebuah musim yang mengecewakan untuk dirinya sendiri dan untuk pasukan Toyota F1, kerana beliau hanya mendapat tempat ke-10 dalam kejuaraan pemandu.

Ralf Schumacher memperoleh mata pertama Toyota pada musim 2007 dengan mendapat di tempat kelapan di Grand Prix Australia, satu tempat di hadapan rakan sepasukan, Jarno Trulli. Walau bagaimanapun, Trulli kemudiannya mendapat tempat ke-7 pada kedua-dua perlumbaan berikutnya di Malaysia dan Bahrain, dan mendapat 2 mata dalam setiap perlumbaan. Schumacher pula gagal untuk mendapat sebarang mata. Di Grand Prix Sepanyol, beliau terlibat dalam sebuah kemalangan dengan pemandu Williams, Alexander Wurz. Beliau akhirnya bersara selepas mengalami masalah mekanikal. Perlumbaan di Monaco terbukti menjadi sebuah lagi medan perjuangan untuk Schumacher, selepas mendapat tempat ke-20 pada pusingan kelayakan, dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-16, 0.9 saat di belakang Trulli. Terdapat khabar angin pada waktu itu yang mengatakan bahawa pasukan Toyota yang tidak berpuas hati dengan prestasi beliau, dan seolah-olah cenderung untuk menggugurkan pemandu tersebut apabila kontraknya tamat pada akhir musim 2007.[4]

Schumacher dalam musim ketiganya bersama Toyota di Grand Prix British 2007.

Schumacher mendapat mata dengan mendapat tempat ke-8 di Grand Prix Kanada, di mana Trulli terpaksa bersara selepas mengalami kemalangan. Namun ini tidak menghalang Naib Pengerusi Toyota Motorsport, Tadashi Yamashina, secara terbuka menggesa Schumacher untuk meningkatkan prestasinya atau menghadapi risiko kehilangan kerusi perlumbaannya,[5] selepas mendapat tempat ke-18 pada pusingan kelayakan. Beliau kemudiannya hilang kawalan di selekoh pertama pada perlumbaan seterusnya, dan menyebabkan Rubens Barrichello, David Coulthard, serta dirinya sendiri bersara. Dalam usaha untuk mengekalkan tempatnya di Toyota pada tahun 2008, beliau ditawarkan potongan gaji sebanyak $17 juta.[6] Beliau bersara di Grand Prix British dan Grand Prix Eropah selepas memulakan perlumbaan di tempat ke-10 teratas. Beliau bersara di Grand Prix British disebabkan oleh kegagalan mekanikal dan bersara di Grand Prix Eropah selepas berlanggar dengan pemandu BMW Sauber, Nick Heidfeld.

Nasib Schumacher berubah di Grand Prix Hungary (Grand Prix yang sama di mana Toyota mendapat podium pertama mereka). Schumacher bermula di tempat ke-5 selepas menetapkan masa ke-6 terpantas (Fernando Alonso diturunkan ke tempat ke-6). Beliau akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat ke-6. Bagaimanapun, nasib ini tidak berterusan bagi Schumacher selepas mendapat tempat ke-16 pada pusingan kelayakan di Grand Prix Turki, dan Trulli memulakan perlumbaan di tempat ke-9. Schumacher menamatkan perlumbaan di tempat ke-12, di hadapan rakan sepasukannya tetapi hanya selepas Trulli berlanggar dengan Giancarlo Fisichella di selekoh pertama.

Pada 1 Oktober, Schumacher mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan Toyota pada akhir musim 2007 untuk cabaran baru. Tahun itu, beliau mempunyai gaji kedua terbesar selepas pemandu Ferrari, Kimi Räikkönen. [7][8]

Persaraan dari Formula Satu

Sebelum dan selepas persaraan rasmi Schumacher daripada Toyota, tedapat khabar angin yang mengaitkan beliau dengan beberapa pasukan Formula Satu. Beliau menghampiri McLaren untuk bertanya mengenai tempat duduk yang ditinggalkan oleh Fernando Alonso, tetapi telah ditolak.[9] Beliau mengadakan perbincangan dengan mentor lama dan ketua pasukan Scuderia Toro Rosso, Franz Tost, untuk berlumba dengan pasukannya,[10] tetapi sebaliknya Toro Rosso memilih Sebastian Vettel dan Sébastien Bourdais. Namun begitu, Schumacher yakin bahawa beliau akan berlumba dalam Formula Satu pada tahun 2008.[11]

Schumacher memandu dalam sebuah kereta Formula Satu buat kali terakhir pada bulan Disember 2007 apabila beliau mengambil bahagian dalam sebuah ujian untuk pasukan Force India dalam usaha untuk mendapatkan kerusi perlumbaan kedua bersama Adrian Sutil. Walau bagaimanapun, selepas menjadi pemandu yang paling perlahan bagi kesemua pemandu yang menguji bersama Force India, Schumacher menyatakan bahawa beliau tidak lagi berminat bersama memandu untuk pasukan itu,[12] dan beliau mungkin tidak akan memandu dalam Formula Satu pada tahun 2008.[13] Kerusi perlumbaan tersebut akhirnya diberikan kepada Giancarlo Fisichella, iaitu rakan sepasukan Schumacher ketika membuat penampilan sulungnya dalam Formula Satu pada tahun 1997.

Selepas tidak bersaing dalam Formula Satu buat dua musim, pengalaman Schumacher menjadi sasaran untuk pasukan baru seperti US F1, Hispania (HRT), Virgin dan Lotus untuk tahun 2010, tetapi menolak kesemua pasukan tersebut.[14]